Thursday, May 5, 2011

Keselamatan Ketika Menunggang Motorsikal

**Petikan daripada forum gt128riders




Kelengkapan

Apabila menyebut tentang keselamatan bermotosikal ramai akan membayang topi keledar , jeket, seluar kulit dan sebagainya. Ini semua baik kerana perkakasan ini adalah perisai yang dapat melindung anda dari tercedera. Tapi ada perkara yang lebih penting dari perisai ini dan dibawah disenarai sedikit, dan antaranya adalah;

Elak kemalangan
Mudah cakap dari melakukannya.Tetapi jika anda meningkatkan tahap kesedaran tentang keselamatan ia sudah dapat membantu agar diri anda lebih selamat. Jika berlaku juga kerana tidak dapat dielak, pastikan kecederaan adalah minima.



Kereta vs motosikal
Perbezaan yang paling ketara antara memandu kereta dan menunggang motosikal ialah apabila memandu kereta anda dilindungi dengan perisai perisai besi dalam bentuk badan dan kerangka kereta. Ini mungkin sebabnya kenapa pemandu kereta kurang prihatin terhadap keselamatan dijalan raya jika dibanding dengan penunggang motosikal. Penunggang tidak ada perisai ini maka mereka mengguna segala deria yang ada untuk meramal apa akan terjadi seperti melihat permukaan jalan (yang jarang dilakukan pemandu), menghidu bau limpahan disel dan lain lain dan sekali gus mengelak kemalangan.

Latihan
Latihan adalah sangat sangat mustahak bagi memastikan keselamatan kita jika berlaku kecemasan. Ramai yang hilang kawalan apabila berada dalam keadaan cemas. Ini kerana kurang pengalaman dan juga latihan. Motosikal tidak akan menjadi lebih selamat dari kereta. Bagi pemandu, mereka boleh brek dalam kecemasan dan tunggu sahaja apa nak jadi tetapi bagi penunggang aksi membrek mesti di rancang dan rancangan tidak akan menjadi jika tiada pengalaman atau latihan.

Pastikan keadaan motor anda
Walaupun kemalangan akibat kerosakan motosikal kurang berlaku kecuali disebabkan tayar, ini tidak bermakna anda boleh abaikan penjagaan motosikal anda. Keadaan tayar, brek depan dan belakang, lampu dan tekanan angin tayar penting untuk keselamatan anda.

Keadaan anda sendiri
Pastikan anda dalam keadaan sihat dan segar. Jika perlu minum, minum jangan dilengah lengahkan. Perkara yang selalu terlupa dalam perjalanan jauh;
- Menjaga kesihatan anda
- Makan pada waktu terutama dalam perjalanan jauh.
- Berhenti untuk solat pada waktu dan sekaligus merehatkan badan
- Tinggalkan segala masalah yang ada.

Kesilapan orang lain
Lihat segala yang berlaku dihadapan anda dan bayangkan apa akan berlaku kemudiannya. Ini agar anda dapat bertindak dan mengambil langkah langkah susulan.


Beri perhatian atas apa yang tidak dapat dilihat
Agak pelik juga macam mana nak beri perhatian jika tidak dapat dilihat? Sebagai contoh lori dikanan moto tersebut menghadang penunggang dari melihat dibelakang lori. Ada ke kanak kanak dibelakang lori, binatang ternakan ataupun sebuah kereta yang hendak memotong. Cara terbaik adalah mengambil posisi paling kiri supaya ruang penglihatan anda lebih luas dan juga memberi anda ruang paling maksima jika sesuatu berlaku.

Brek kecemasan
Apabila sesuatu berlaku diluar jangkaan, tindakan yang biasa diambil ialah membrek secara kecemasan. 
Apabila ini dilakukan ramai antara kita yang hilang kawalan kerana tidak ada latihan. Jika dapat mengawal motosikal ketika membrek anda mungkin dapat menyelamatkan keadaan. Ada juga antara kita tidak boleh membrek sekuat kuatnya kerana takut sesuatu akan berlaku. Cuma latihan yang akan dapat melawan ketakutan ini. 

Apabila membrek bebanan akan mengalih keroda depan
Sebelum sesuatu berlaku latih latih dan latih. Cuba pada kelajuan rendah dan bila sudah selesa bolehlah tingkat kelajuan.

Membrek, cengkaman dan beban 
Aksi membrek dengan baik berlaku jika ada cengkaman antara pad brek dan cakera dan juga ada cengkaman antara tayar dengan permukaan jalan dan ini berkaitan pula dengan beban yang dipikul.
Lebih beban keatas tayar lebih cengkaman tayar atas permukaan jalan. Konsep ini perlu diketahui oleh semua penunggang terutama mereka yang selalu mengguna motosikal dengan membawa pembonceng. Ketika menunggang secara sendirian anda akan memakan jarak yang lebih untuk memberhentikan motosikal anda. Begitu juga sebaliknya jika anda sudah biasa menunggang solo tetapi sesekali membawa pembonceng anda perlu tahu bahawa moto akan berhenti dalam jarak yang kurang dari biasa. Agihan beban antara roda depan dan roda belakang juga penting. Jadi apabila membawa pembonceng pastikan mereka duduk di bahagian tengah motosikal. Ada sesetengah pembonceng suka membawa beg yang diletak antara dia dan penunggang, ini akan menyebabkan bebanan atas roda belakang lebih dan membuat road depan ringan.

Teknik membrek kecemasan
Apa sahaja situasi anda harus jangan panik. Jika panik apapun tak menjadi.

Panduan ini adalah untuk situasi betul betul cemas, jika tidak ambil tindakan akibatnya nahas. Ada beberapa kaedah yang selalu diamalkan. 

Berikut hanya satu cara;

1.- Tutup pendikit dan jangan tarik klac. Kalau membrek secara biasa bolehlah tarik tapi bagi situasi betul betul cemas tidak ada masa untuk tarik klac malah jika klac ditarik ia akan membuat moto meluru kedepan.
2.- Tarik brek depan dan tekan brek belakang tetapi pastikan belakang tidak membuang kerana situasi begini cukup senang bagi roda belakang membuang. Sambil mengambil tindakan keatas brek kaki anda terus bertindak menukar kepada gear rendah tanpa mengguna klac. Ini adalah untuk mengguna kuasa enjin dalam membrek. Jika anda berada di gear 5 misalnya tidak ada masaalah tukar ke gear 3 atau dua tapi tukar satu gear demi satu gear.
3.- Brek depan harus diguna lebih dari belakang. Jika roda terkunci lepaskan brek seketika dan tekan kembali. 
4.- Jika anda mengguna moto ringan seperti moto sport alihkan badan anda kebelakang sedikit supaya memberi beban keatas tayar belakang.

Membrek cemas diselekoh

Anda baru sahaja masuk selekoh dan didepan anda terdapat halangan yang boleh membahayakan anda. Tindakan betul adalah untuk menegakan moto anda dahulu sebelum tindakan membrek dilakukan. 

Mengelak
Satu kebelihan motosikal adalah ia amat senang untuk dikendalikan dan ini memungkinkan anda mengambil tindakan mengelak. 

Mengelak atau membrek
Membrek bukanlah penyelesaian masaalah. Ada masanya kita membrek bagai nak rak tapi masih bertembung dengan halangan yang hendak dielak. Membrek dapat membantu, jika tidak dapat mengelak, sekurang kurangnya dapat mengurangkan kesan impak apabila bertembung.
Biasanya jika ada halangan tindakan mengelak lebih baik dari membrek. Hampir semua penunggang pernah melakukan aksi ini dan ianya amat berkesan bagi mengelak halangan.

Jangan perangkap diri sendiri
Kita semua memerlukan ruang. Bila di dalam lif pun kita akan merasa tidak selesa jika lif terlalu padat kerana kita tidak ada ruang.

Apabila berada diatas jalan raya begitu juga. Kita memerlukan ruang supaya dapat bergerak kekiri atau kekanan untuk mengelak sesuatu. Jangan perangkap diri sendiri dengan tidak memberi diri anda ruang secukupnya. Seperti mana anda perlu ruang, begitu juga pengguna jalan raya yang lain. Bersikap timbang rasa apabila diatas jalan dan beri ruang kepada pengguna lain. Jangan buat kecoh dengan menghimpit mereka kerana yang akan rugi adalah anda.

Perlu di ingat bahawa ruang bukan sahaja di depan tetapi dikiri, kanan dan juga belakang anda.


Antara perkara yang selalu diingatkan adalah:


  • Ikuti kursus di sekolah memandu. Lebih banyak kemahiran yang anda perolehi akan menjadikan anda lebih cekap menunggang motorsikal.
  • Ikuti servis yang dicadangkan untuk motorsikal anda.
  • Gunakan servis profesional
  • Gantikan bahagian yang rosak secepat mungkin
  • Baca dan fahami panduan yang disediakan
  • Selalu periksa motorsikal anda supaya ia sentiasa berada dalam keadaan yang baik (terutamanya lampu depan, belakang, brek dan juga tayar)
  • Ketahui kebolehan dan juga had kemampuannya
  • Elakkan daripada melalui jalan yang merbahaya
  • Berhati-hati dengan sebarang tumpahan minyak
  • Berhati-hati dengan habuk, bonggol jalan (bumps) dan juga lubang, terutamanya selepas hujan kerana benda-benda ini kadang-kadang sukar dilihat.
  • Pandu hanya pada kelajuan yang mudah untuk anda berhenti serta-merta
  • Pandu dalam gear yang betul
  • Gunakan topi keledar. Lebih baik sekiranya dapat menggunakan topi keledar yang menutupi keseluruhan muka.
  • Pastikan ikatan pada topi keledar dipasang rapi
  • Gunakan topi keledar dengan betul walaupun untuk perjalanan yang dekat
  • Gunakan topi keledar yang telah diluluskan oleh SIRIM
  • Pasangkan lampu bila-bila sahaja anda menunggang
  • Pakai pakaian berwarna cerah, pada waktu malam pula, gunakan pakaian yang boleh memantulkan cahaya
  • Lindungi mata anda
  • Tumpukan sepenuh perhatian semasa menunggang motorsikal
  • Sentiasa mematuhi had laju yang ditetapkan
  • Jangan merokok ataupun menggunakan telefon bimbit semasa menunggang
  • Jangan menunggang selepas meminum minuman keras ataupun selepas mengambil ubat yang boleh mengkhayalkan atau menyebabkan mengantuk
  • Jangan menunggang jika anda terlalu letih atau rasa mengantuk. Berhenti rehat jika perlu
  • Adalah dinasihatkan untuk memakai kasut yang elok, yang bertutup 
  • Jangan suka memotong kenderaan lain
  • Bersabar dan bertolak ansurlah di jalan raya



credits to matzack